KETIKA Saidina Umar al-Khattab mengerjakan tawaf di keliling Kaabah,
beliau terdengar doa seorang lelaki. “Ya Allah masukkanlah aku dalam
kumpulan orang yang sedikit.”
Terkedu juga Amirul Mukminin dengan
doa yang agak ganjil itu. Biasanya manusia suka kepada kumpulan ramai.
Malah, kita sendiri hendakkan ramai kawan di sekeliling kita. Jika
pengikut ramai lagi hebat, kukuh dan gah kita tetapi lain halnya dengan
lelaki ini.
Apabila ditanya, rupanya lelaki itu menjelaskan:
“Tidakkah tuan baca dalam al-Quran. Allah menjelaskan ayat yang
bermaksud: “...sedikit saja di kalangan hamba-Ku yang bersyukur..."
Rupanya,
dia berharap dan berdoa supaya menjadi orang yang bersyukur. Daripada
ayat itu, Allah memberitahu sangat sedikit orang yang tahu berterima
kasih dan bersyukur. Tersenyum Saidina Umar.
Sangat ramai di
kalangan manusia sibuk berfikir bagaimana hendak mendapat yang
diidamkan. Sangat sedikit manusia berfikir, bagaimana hendak bersyukur
dan berterima kasih kepada Tuhan dengan apa yang dimiliki.
Kita
wajib bersyukur kerana dengan bersyukur kita men dapat jaminan
pertambahan dan gandaan. Yang menjamin ini datang daripada Tuhan Yang
Maha Kaya lagi Berkuasa iaitu Allah.
Firman Allah bermaksud:
“Sekiranya kamu bersyukur nes caya Aku tambah nikmat dan jika kamu kufur
sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Zaman sekarang, tiada yang percuma. Semuanya harus dibayar. Tidak bayar, diberi amaran dan lama-kelamaan dikenakan tindakan.
Tetapi
Allah, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bil
seperti udara percuma, jantung percuma dan mata dapat melihat tanpa
bayaran, malah semuanya tidak dikenakan bayaran.
Apabila mengenangkan kebaikan percuma, sepatutnya tim bul rasa terima kasih di dalam diri. Itulah namanya ber syukur.
Remaja
yang sentiasa memikirkan kebaikan orang tuanya juga akan timbul rasa
ingin membalas budi. Bersyukur itu sangat besar kedudukannya dalam
Islam. Jika tidak ber syukur, boleh menjadi kufur.
Tetapi bagaimana bentuk syukur yang patut dilakukan? Ada lima bentuk syukur nikmat yang perlu direnungkan.
Pertama, yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.
Kedua, apabila mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Jika kita dikatakan cerdik, ucap saja alhamdulillah kerana yang memberi otak dan cerdik ialah Allah.
Ketiga, terima kasih pada orang yang menjadi penyebab nikmat.
Bila cerdik, kena bersyukur pada guru. Anak pula mesti berbudi pada ibu
dan ayah yang bersusah payah melahir dan membesarkan mereka.
Keempat, jadikan segala nikmat diperolehi sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Cara bersyukur kerana dapat anak adalah dengan mendidik anak hingga menjadi orang berguna pada agama, bangsa dan negara.
Mereka yang menjadi guru mempunyai ilmu patut berkhidmat untuk umat.
Kelima, ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain.
Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata
syukur. Tetapi dalam bab ini mesti hati-hati, kerana dibimbangi pula
akan mengundang perasaan riak atau bangga diri.
“Dan janganlah
engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
membanggakan diri.” (Luqman: 18)
No comments:
Post a Comment