Saya ingin
berkongsi pengalaman yang tak mungkin saya lupakan seumur hidup saya. Mungkin
cerita yang ingin saya sampaikan ini dianggap sebuah dongeng pada halwa
pendengaran para pendengar, tapi ia adalah satu kenyataan yang kami sekeluarga
tempuhi.
Kisah ini baru juga
berlaku, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu. Waktu itu jam menunjukkan 10.25
malam dan saya sedang menonton televisyen di ruang tamu. Tiba-tiba ada
seseorang mengetuk pintu rumah saya, dan bila saya buka, saya dapati kakak saya
berlumuran dengan darah. Saya amat terkejut dan panik dengan keadaannya masa
itu. Saya tanya dia kenapa tapi dia hanya mendiamkan diri dan menangis lalu
terus berlari ke bilik air. Saya bergegas ke bilik untuk beritahu mak dan ayah.
Mak dan ayah juga cuba memanggil nama kakak dan ketuk berkali-kali di pintu
tandas tapi kakak hanya mendiamkan diri. Kami sekeluarga panik dengan keadaan
kakak.
Tak lama selepas
itu, ada seseorang mengetuk pintu. Ayah ke pintu untuk menjengah siapa yang
datang. Dua orang lelaki menggelarkan mereka adalah kawan kepada kakak saya.
"Cik, saya Amir, kawan Lin..." Beliau bercakap sambil menangis
terisak-isak, "Cik... Lin meninggal dunia... Dia kemalangan..."
Sejurus mendengar kata-katanya, ayah saya memarahi beliau dan mengatakan kakak
ada di bilik air.
Dipendekkan cerita,
kami ke tandas untuk memastikan kesahihan berita yang kami dengar. Pintu tandas
diketuk berkali-kali tapi kakak tetap mendiamkan diri. Ayah memutuskan untuk
memecahkan pintu tandas. Alangkah terperanjatnya kami, tiada sesiapa di dalam
dan ayah menyoal saya tentang kakak. Saya menangis dan bersumpah yang saya
jumpa itu benar-benar kakak dan saya mengatakan kalau saya tipu, kenapa pintu
bilik air terkunci di dalam. Ayah dan mak hanya tergamam antara percaya dan tak
percaya dengan cerita saya...
No comments:
Post a Comment