Selepas
sembahyang Asar, di Masjid Tabligh Sri Petaling, Kuala Lumpur diadakan
pula majlis taklim yakni kami duduk dalam satu bulatan dan seorang demi
seorang diminta membaca fadilat tertentu yang telah dihafal seperti
fadilat zikir dan sembahyang.
Selain saya, ada seorang lelaki berusia
40-an, keturunan India turut berada di majlis taklim itu. Lelaki India
itu sudah lama menjalankan kerja-kerja dakwah dalam jemaah tabligh.
Dia pernah keluar berdakwah selama empat
bulan di tiga buah Negara iaitu India, Pakistan dan Bangladesh (IBP),
keluar 40 hari, seminggu dan tiga hari. Dia juga menghadiri ijtimak
tabligh yang sering diadakan oleh jemaah tersebut di luar Negara.
Selepas majlis taklim, lelaki India itu
mengambil kesempatan berbual-bual dengan saya apabila melihat penampilan
saya tidak seperti ahli-ahli jemaah tabligh memakai baju kurta dan
jubah. Saya pula hanya berpakaian biasa, T-shirt dan seluar slack.
Saya katakan pada lelaki India itu, saya
bukan pengikut tabligh tetapi datang ke masjid tersebut untuk berjumpa
seorang rakan yang mengikuti kumpulannya. Dalam perbualan itu, lelaki
India berkenaan banyak bercerita kelebihan jemaah tabligh yang
diikutinya dan bagaimana terlibat dengan jemaah tersebut.
Dari cerita lelaki India ini saya
mendapat tahu dia bekas seorang pilot sebelum memeluk agama Islam. Oleh
kerana saya baru mengenalinya, saya lebih banyak mendengar ceritanya.
Jadi, saya tidak bertanya lanjut sama ada dia bertugas sebagai
juruterbang Tentera Undara Diraja Malaysia (TUDM), dengan MAS atau
syarikat penerbangan swasta. Saya juga tidak bertanya pekerjaan lelaki
India ini setelah berhenti sebagai pilot.
Dalam perbualan itu, lelaki India
tersebut bercerita dia bersyukur dapat hidup sebagai seorang Muslim
setelah memeluk Islam. Fikirannya lebih tenang dan hidupnya lebih
berkat, banyak diberi rezeki oleh Allah dari sumbangan yang tidak
diketahuinya.
Perbualan itu tambah menarik apabila
lelaki India tersebut bercerita pula bagaimana dia mendapat hidayah.
Sebelum itu, lelaki India tersebut berkata dia tidak pernah terfikir
untuk meninggalkan agama anutan nenek moyang dan keluarganya.
Tetapi peristiwa yang berlaku empat tahun lalu itu telah mengubah seratus peratus kehidupannya sehinggalah dia menjadi Muslim.
“Ana bersyukur kepada Allah sebab
menurunkan asbab untuk ana memeluk Islam. Kalau ana tak diberi asbab
ini, belum tentu ana dapat hidayah. Kalau Allah kata kun fayakun, ‘jadi,
maka jadilah’, tak ada siapa boleh tahan.”
“Itu sebab ana amat bersyukur dapat
melihat keajaiban Allah. Masya-Allah, ana tak boleh nak gambarkan macam
mana Allah sayangkan hamba-Nya. Kalau Allah dah sayang hamba-Nya, Allah
payungkan kita di dunia lagi.
“Ana dah saksikan, sepanjang penerbangan
itu, ana takjub. Ana belum pernah lihat fenomena ajaib begitu. Ana
tengok tempat lain panas, tapi pesawat ana dipayungi awan. Sepanjang
perjalanan dipayungi awan seolah-olah ada awan megekori kami. Langsung
tak kena panas terik.
“Itulah ana paling takjub. Ana Tanya
kawan-kawan ana, mereka pun kata tak pernah alami kejadian macam tu,
masya-Allah, awan sentiasa payungi pesawat yang bawa almarhum daripada
terkena terik matahari.
“Kalau di dunia lagi Allah dah payungi
kita, masya-Allah di akhirat kelak, Allah akan payung kita dari panahan
cahaya matahari yang berada sejengkal di atas kepala kita. Masya-Allah!”
cerita bekas pilot itu kepada saya sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya.
Kejadian itu, kata bekas pilot tersebut,
bukan sahaja disaksikan olehnya seorang, tetapi lain-lain krew
penerbangan yang mengendalikan pesawat.
“Ana tahu, jenazah yang ada dalam
pesawat itu seorang ulama. Ulama ini buat kerja-kerja dakwah Islam.
Ulama ini suruh orang buat baik, ajak jauhi mungkar. Hati ana tiba-tiba
terdetik, ulama ini seorang Islam. Ana lihat ada kebenaran dalam Islam.
“Selepas ana tengok awan yang pelik itu
dari mula sampai akhir penerbangan kami, ana beritahu rakan Muslim dalam
pesawat, ana nak masuk Islam. Ana betul-betul kagum dengan kebesaran
Allah,” cerita bekas pilot itu kepada saya.
Itulah punca lelaki India bekas pilot itu masuk Islam yang diceritakan kepada saya dua tahun lalu.
Kejadian menakjubkan itu berlaku ketika
pilot India itu bertugas untuk membawa jenazah seorang ulama terkenal
dari Kuala Lumpur untuk disemadikan di sebuah negeri di sebelah utara
tanah air.
Oleh kerana pertemuan itu berlangsung
selepas Asar dan kami berbual tidak lama, saya tidak sempat bertanya
secara terperinci sama ada bekas pilot India itu sendiri yang
menerbangkan pesawat atau dia yang menjadi ketua penerbangan ihsan itu.
Bekas pilot itu banyak bercerita tentang
keajaiban yang dilihatnya, awan memayungi pesawatnya bermula dari Kuala
Lumpur sehinggalah ke lapangan terbang di utara.
Sebenarnya saya turut membantu
menguruskan jenazah ulama terkenal tersebut sebelum dibawa menaiki
pesawat. Ketika itu saya baru menjadi sukarelawan menguruskan jenazah
orang-orang Islam.
Saya ceritakan kepada bekas pilot
itu, saya turut menyembahyangkan jenazah almarhum. Ulama itu yang
meninggal dunia akibat sakit jantung di sebuah hospital di Kuala Lumpur
dimandikan di sebuah hospital sebelum dibawa dengan van jenazah ke Surau
al-Mustaqimah, Bandar Tun Razak untuk kami sembahyangkan.
Ketika itu saya
beritahu bekas pilot tersebut, saya melihat ribuan orang datang dari
segenap pelosok negara untuk bersama-sama memberikan penghormatan
terakhir kepada almarhum.
Saya katakan pada pilot itu juga, saya
sendiri berasa takjub apabila melihat bilangan mereka yang datang
terlalu ramai untuk menyembahyangkan jenazah almarhum. Kami terpaksa
bersesak-sesak berdiri.
Begitu juga saya beritahu bekas pilot
itu, saya berasa bangga apabila setiap orang yang datang berebut-rebut
hendak mengangkat jenazah almarhum sehingga ia meniti dari tangan ke
tangan yang lain sampailah jenazah tersebut dibawa keluar daripada surau
dan dimasukkan ke dalam van semula.
Saya juga ceritakan kepada bekas pilot
itu, paling membanggakan saya, van jenazah itu diiringi pula oleh
anggota motosikal peronda polis ke pangkalan Tentera Undara Diraja
Malaysia (TUDM) Subang.
Mengikut wasiat almarhum, almarhum mahu
jasadnya disemadikan di sebuah madrasah yang menempatkan sebuah kolej
pengajian Islam di negeri kelahirannya. Saya bersyukur ke hadrat Allah
kerana jenazah almarhum selamat disemadikan di madrasah berkenaan
seperti mana wasiat beliau.
Apa yang membuat saya terkilan, saya
terlupa untuk bertanya bekas pilot itu sama ada beliau sendiri yang
menerbangkan pesawat itu atau orang lain. Tetapi mengikut cakap-cakap
orang ramai ke telinga saya, jenazah ulama itu diterbangkan dengan
pesawat Hercules milik TUDM ke sebuah lapangan terbang di utara tanah
air. Kalau beliau yang membawa pesawat tentulah bekas pilot itu seorang
anggota tentera.
Sebagai seorang ulama terkenal yang
berjuang atas nama agama, saya terharu dengan kematian almarhum.
Almarhum banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kematian
almarhum dan kejadian awan memayungi pesawat yang membawa jenazah ulama
tersebut juga telah membuka pintu hati bekas pilot itu memeluk agama
Islam.
Sejak itu saya tidak lagi bertemu dengan
bekas pilot berkenaan. Saya tidak tahu di mana dia tinggal. Saya juga
jarang ke masjid tabligh lagi kerana sibuk dengan pengajian tahfiz di
Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu
Baru, Selangor.
No comments:
Post a Comment