Suatu
malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah
ayahanda menjelma di hadapanku.Perasaan kasih pada ayahanda tidak
dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: “Ayah… sudah lama tiada
berita dari langit sejak ayahanda tiada !”
Waktu
itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat.Ketika aku
sedang memanggil-manggil ayahanda,muncul pula para malaikat bersaf-saf
lantas menarik tanganku,membawa aku naik ke langit.
Apabila
aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi
taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata
memandang.
Keindahan
istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata
begitu mengasyikkan.Dari celahan pintu-pintu istana tersebut
menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat
jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata
kepadaku:“Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya,dan kerana ayahanda kamu,kami diciptakan…”
Malaikat
itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki
sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada
sebelumnya.Cahayanya bergemerlapan.
Dalam
setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah
yang belum pernah dilihat mata,tidak terdengar di telinga dan tidak
pernah tersirat di hati.Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira,
bergelak ketawa dan ceria.Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera
nipis dan tebal.Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan
pelbagai warna dan corak.
Di
atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan
perak yang sungguh menawan.Pelbagai jenis hidangan makanan,buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk
dimakan.Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran
sungai yang warnanya lebih putih daripada susu,rasanya lebih manis
daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku
yang kehairanan dan takjub lantas bertanya:“Untuk siapakah
tempat-tempat indah sebegini dicipta ? Apa nama sungai-sungai yang harum
mewangi ini?”
Malaikat-malaikat itu menjawab:
“Tempat
ini adalah Firdaus,tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di
atasnya.Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu,semua
rasul,nabi,para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah.Sungai ini
bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu.”
Aku bertanya lagi:“Di mana ayahandaku ?”
Malaikat-malaikat menjawab:“Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!”
Tidak
lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan
permaidani yang tersangat indah.Tiba-tiba aku sudah berada di atas
permaidani yang terbentang di atas singgahsana.Aku ternampak ayahandaku
sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok
orang yang tidak dikenali.Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku
berkali-kali.
Ayahanda berkata: “Selamat datang wahai puteriku!”
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
“Wahai puteriku,tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?”
Ayahanda
menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang
indah menawan serta berkilau-kilauan,saujana mata memandang.
Ayahanda
berkata:“Inilah tempat tinggalmu,kediaman suamimu,kedua-dua anakmu
serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka.Bergembiralah…engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi…”
Aku berkata: “Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda.”
Selepas
berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda,aku terjaga.Tubuhku
menggigil dan terasa takut yang amat sangat.Aku masih teringat-ingat
bisikan ayahanda.Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi.Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat.Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut
panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak
hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih.Perasaan
sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda.Aku tahu tidak
lama lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda
tercinta di akhirat yang kekal,aman dan sentosa.
Aku
menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti
Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba.Asma menunjukkan pelepah
kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di
Habshah.
Aku
tersenyum apabila melihat keranda itu.Aku berwasiat supaya jenazahku
nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah
apabila melihat jenazahku.Aku juga meminta suamiku supaya menikahi
Umamah,saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku
menyayangi mereka.
Setelah
merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah
makam ayahanda.Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak.Tapi aku
gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam
ayahanda.
Tidak
lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh.Aku akan meninggalkan dua
puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi.Sayang,ibumu terpaksa pergi dulu…
Selamat
tinggal sayangku,puteraku dan suami tercinta.Biarlah aku menghadap
Ilahi tanpa tangisan sesiapa.Aku tidak sanggup melihat tangisan
puteraku dan suamiku.Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan
suamiku bersembahyang.Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam
bersujud pada Ilahi.
Aku
terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di
masjid. Aku mengambil ramuan hanuth,sejenis pengawet mayat yang
ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh
tubuhku.Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku.Selepas itu
sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan
merawatku.
Pada
Asma aku berpesan,“Wahai Asma, perhatikanlah aku.Sekarang aku hendak
masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap.Jika aku tidak keluar,panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu.Tetapi jika
aku tidak menjawab,ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah
ayahandaku!”
Setelah
sejam berlalu,Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada
sebarang jawapan.Ketika penjaga itu masuk,dia terkejut apabila melihat
wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi
wa inna ilaihi rajiun…
**Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra,anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah.Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi’ di Madinah.Masih adakah wanita solehah
No comments:
Post a Comment